Keberanian seorang pemimpin…
Salam untuk semua Pak Tam hulurkan. Agak lama Pak Tam tak ‘ke udara’, maklumlah Pak Tam pun sibuk juga. Namun, ini tidak bermakna Pak Tam akan membiarkan laman negeri Pak Tam ini terbiar begitu sahaja. Oh..ya sebelum terlupa, Pak Tam mengalu-alukan sebarang artikel dan pandangan untuk mengisi laman web ini.
Minggu lepas Pak Tam berada sehari dua di Kuala Lumpur atas satu urusan tidak rasmi. Kesempatan bila berada di Kuala Lumpur Pak Tam merayaplah ke beberapa loby hotel yang menjadi tumpuan professor politik. Dari banyak cerita yang Pak Tam kumpul terdengar ke telinga Pak Tam tentang kelantangan dan keberanian Menteri Besar Pak Tam.
Ramai yang tahu sebelum ni Tok Nan memang terkenal dengan kelantangan dan keberanian menegur yang pada pandangan beliau tidak kena dan tidak sesuai. Malah orang Pahang tahu sangat perangai Tok Nan ni. Beliau tidak pandai sangat nak menyimpan macam kebanyakan pemimpin lain dan lebih suka bercakap di belakang. Bagi Tok Nan yang Pak Tam kenal itulah sifat sedia ada pada beliau.
Pak Tam dengar cerita Tok Nan antara Ahli Majlis Tertinggi Umno yang lantang dan berani berterus terang ketika menegur pemimpin. Tidak benar dan tidak betul kata kebanyakan orang bahawa Majlis Tertinggi adalah Pak Turut yang sanggup mengiya dan mengangguk apa yang dikatakan oleh Presiden.
Cumanya beza Tok Nan dan pemimpin yang lain, mereka bila bercakap dalam mesyuarat tertutup kemudian membuka kepada media, sedangkan Tok Nan tidak begitu. Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat rasmi dianggap bukan bahan untuk media.
Bagi pemimpin yang berani menegur untuk kebaikan tidak akan menjadikan modal tegurannya itu sebagai mencari publisiti murahan di luar dewan. Mereka menegur apa yang dirasakan tidak betul dan kurang tepat. Itupun hanya di dalam mesyuarat yang diminitkan dan didengar dan dibincang secara bersama.
Pak Tam rasa pelik dengan segelintir pemimpin umno sejak kebelakangan ini yang gemar mencari publisiti murahan dengan media. Bercakap dalam Majlis Tertinggi kemudian hebahkan kepada media. Kononnya hendak memberitahu rakyat bahawa dialah pemimpin yang berani menegur pucuk pimpinan.
Ada la kawan Pak Tam dalam majlis tertinggi yang memberitahu kelantangan dan keberanian Tok Nan tetapi mereka juga tidak suka untuk mencari hebahan murahan dengan media. Sebaliknya yang suka menegur pemimpin secara terbuka lebih kepada mencari kepentingan diri dan mahu melonjak nama peribadi dalam politik, tanpa mengambil kira perpaduan dan kestabilan parti.
Malah dari cerita yang Pak Tam dengar, Tok Nan sanggup tidak mendapat undi dari satu negeri yang ditegurnya semata-mata pemimpin negeri tersebut tidak puas hati dengan teguran Tok Nan.
Kata kawan Pak Tam, Tok Nan tidak heran semua itu kerana dia tidak akan bertanding jawatan penting dalam pemilihan akan dating. Sebaliknya teguran itu dibuat ikhlas memandangkan terlalu banyak yang diminta oleh negeri tersebut selepas pilihan raya umum baru-baru ini.
Kalau benarlah cerita ini, Pak Tam kagum dengan Menteri Besar Pahang ini kerana sanggup untuk tidak dapat undi dari negeri tersebut demi mempertahankan apa yang dilihatnya tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin negeri tersebut.
Syabas Tok Nan, semuga Umno akan kembali kuat dan diyakini rakyat kerana adanya pemimpin yang berani dan ikhlas macam Tok Nan.
