Pahang potong 30% bukan cari populariti
Kesediaan serta kesanggupan Kerajaan Negeri Pahang untuk memotong sehingga 30 peratus elaun keraian anggota Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menjimatkan perbelanjaan ekoran kenaikan harga minyak, dilihat satu langkah berani dan bertanggungjawab.
Walaupun kata Menteri Besar Dato’ Seri Adnan Yaakob cadangan tersebut akan dibentang terlebih dahulu dalam mesyuarat Exco hari ini serta perlu mendapat kelulusan kerajaan pusat, Pak Tam sudah merasakan itulah keberanian seorang pemimpin.
Kalau mahu diikut, negeri Pahang bukanlah tergolong dalam negeri kaya jika mahu dibandingkan dengan Johor mahupun Selangor. Tetapi apa yang lebih penting kesediaan kerajaan negeri untuk berkongsi ‘sedikit kepayaan’ kesan daripada kenaikan harga minyak, harus dipuji walaupun kata MB beliau tidak mahu melakukan perkara ini kerana hendak popular.
Pandangan Pak Tam, Tok Nan tak perlu lagi cari publisiti untuk popular kerana sudah terkenal dan popular. Namun, kali ini dalam isu pemotongan elaun keraian Exco dan ADUN, kalau benar sekalipun ada pihak yang menuduh Tok Nan hendak mencari popular, Pak Tam rasa pedulikan, jika popular itu untuk dilihat bersimpati dengan rakyat.
Lagipun Dato Seri, keraian yang terlalu tinggi dan dilihat mewah hanya merupakan pembaziran sahaja. Kalau boleh dan kalau benar pemotongan elaun ini benar-benar berlaku, Pak Tam cadangankan biarlah ianya terus menjadi dasar kerajaan.
