Rakyat Subsidi…Salah Siapa ?
Salam hormat rakan dan pembaca sekelian
Ada kalanya Pak Tam terfikir betapa beruntungnya rakyat Malaysia dan ada kalanya keberuntungan itu turut di kongsi oleh rakyat asing, pendatang asing dan sesiapa yang berada di negara ini.
Hampir apa yang kerajaan berikan kepada warganegara turut dinikmati oleh orang asing termasuk pendatang tanpa izin. Subsidi minyak umpamanya malah apa sahaja bencana yang menimpa ketika mereka berada di negara ini turut diberi bantuan oleh kerajaan. Sudah tentulah sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab seperti kerajaan Barisan Nasional.
Benarkah negara ini negara subsidi? Di mana sahaja ada subsidi kerajaan untuk rakyatnya tanpa mengira kedudukan dan pendapatan. Barang keperluan ada subsidi. Minyak petrol ada subsidi. Tol subsidi. Banyak lagi la yang Pak Tam sendiri tak sempat nak senaraikan di sini.
Mentaliti subsidi yang sudah sebati dengan rakyat Malaysia akhirnya ‘menyusah’ dan membebankan kerajaan sedia ada. Rakyat sudah manja dan lena diulit subsidi. Mereka sudah dibiasa dan di ajar sebelum ini tentang subsidi dari kerajaan.
Pak Tam tertarik dengan isu bantuan kerajaan dan subsidi kerajaan bila mendengar kerajaan negeri Pahang terpaksa menyediakan peruntukan RM 6.736 juta kepada seramai 23, 299 keluarga mangsa banjir di negeri itu baru-baru ini.
Sekali imbas, layakkah kerajaan negeri mengeluarkan bantuan sebesar itu kepada mangsa banjir. Apakah banjir yang melanda hampir kesemua daerah di Pahang kecuali Cameron Highland Disember 2007 baru-baru ini satu kesalahan yang dibuat oleh kerajaan negeri. Tidakkah banjir itu merupakan satu bencana alam. Ini bermakna bila bencana tersebut berlaku ianya menjadi tanggungjawab individu dan bukannya dibebankan kepada kerajaan yang memerintah.
Sebaliknya kerajaan negeri Pahang pimpinan Datuk Seri Adnan Yaakob yang sudah pasti sebuah kerajaan negeri Barisan Nasional memperuntukan jumlah bantuan mengikut kategori lagi. Bagi mangsa yang rumah mereka ditenggelami air sedalam 5 kaki ke atas sejumlah RM1,100 satu keluarga. Manakala RM 700 bagi rumah yang ditenggelami air di bawah paras lima kaki.
Bukan Pak Tam nak pandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam banjir baru-baru ini. Nasib baik rumah Pak Tam tidak terlibat kerana Pak Tam berada di kawasan tinggi sikit. Apapun, Pak Tam merasakan sikap dan mentaliti rakyat negara ini sudah diracuni oleh penyakit subsidi.
Ada buruk ada baik. Yang baik tentulah rakyat terbela dan yang buruknya sikap ini tidak akan berubah dan akan terus diwarisi dari jenerasi ke jenerasi.
